AMARAN KERAS!!!!!!

Segala hasil ciptaan puisi saya diharapkan agar dapat memartabatkan semula seni warisan bangsa khususnya dalam seni berpantun dan bersajak....mudah-mudahan :)

Akhir sekali...Hakcipta adalah terpelihara... tidak boleh disalin semula sebahagian mahupun keseluruhan ataupun di'copy paste' :)

Monday 4 June 2012

my birthday and mother's day giveaway



Klik banner untuk sertai.

PENAJA

Sekalung tahniah diucapkan buat Ezza Malik atas terlaksananya kontes yang amat bermakna ini. Tanpa ibu siapalah kita, lantaran itu buat mereka di luar sana ayuh luahkan perasaan anda terhadap insan yang bernama ibu dengan menyertai kontes ini....

Moga-moga usahaku berhasil, dan hadiah yang menjadi impian mampu dimiliki... ameeeeeeeennn


Ibu...dia yang melahirkan
Ibu...dia yang menghayun buaian
Ibu...dia yang berjuang
Ibu...dia yang mengasuh
Ibu...dia yang mendidik
Ibu...dia yang menjaga
Ibu...dia yang berjasa
Ibu...dialah segalanya
Ibu...dialah tiada galangnya
Lantaran dia yang bernama IBU...

Ibu, kaulah sumber inspirasiku... lantaran terlalu banyak pengorbananmu kepadaku, dirimu seorang balu yang berhati gagah dalam membesarkan sepuluh orang anak-anakmu. Tidak pernah sedikit pun keluh kesah terlafaz di bibirmu malah kau sentiasa tersenyum walau digamit dengan sejuta keperitan dan ujian menimpa. Andai dibentang pelbagai rintangan, ibu tetap tabah bangkit berjuang dalam memberikan yang terbaik buat anak-anakmu walau tanpa kehadiran suami di sisi.

Kagum aku pada dirinya, dengan sabar melayan karenah anak-anaknya walau onak dan duri yang kami tabur, dengan ikhlas ibu terus menabur jasa dan bakti tanpa secalit dendam di hati. Malah telah ibu telah menyediakan diri kami anak-anaknya dengan benteng kesabaran, merumahkan kami dengan keimanan dan mempersiapkan kami untuk menempuh dunia yang penuh pancaroba.

Ibu, ku lihat di mata ibu ada sinar redha buat anak-anaknya dan kasihnya sentiasa harum umpama setanggi syurga buatku. Dialah srikandiku, penerang obor cahaya dikala aku kegelapan, penyegar kepada kelesuan hatiku, dirimu jua ibarat kompas kepada berlikunya jalan hidupku ini... ibulah segalanya, bidadari syurga yang diturunkan Allah buat anak-anaknya.


Dialah obor menerangi kehidupan
Penerang jalan dikala kegelapan
Walau digamit berjuta dugaan
Gagah dirinya meneruskan perjuangan


Semasa aku di sekolah dahulu, aku kerap mewakili sekolahku untuk ke pertandingan pantun, sajak dan syarahan. Setiap kali itu jugalah kau sentiasa di sisiku, menjadi jurulatih tetapku, masih jelas lagi diingatan setiap kali sebelum masuk waktu subuh pasti kau mengejutkanku untuk berlatih. Begitu juga setiap kali musim peperiksaan tiba, dirimu pasti setia menemaniku untuk mengulangkaji pelajaran. Aku tahu jauh di sudut hatimu kau tidak mahu melihat kesusahan hidup ini terus diwarisi. Aku tahu kau ingin melihat aku berjaya, kerana hanya kejayaan ini sahajalah yang dapat memberikan kepuasan dan kebahagiaan buatmu ibu. Percayalah ibu, semangatmu telah membuatkan aku terus berusaha untuk berjaya, Alhamdulillah aku telah buktikan untuk berjaya berada di menara gading... niatku pada masa itu hanyalah ingin membayar jasamu kerana menyedarkan aku tentang pentingnya ilmu pengetahuan, kata-katamu "Ilmu adalah harta" tetap ku pegang sehingga kini, dan kata-kata itulah juga telah aku perturunkan buat anak-anakku, dan ku harap semoga kata-kata itu juga dapat membakar semangat anak-anakku untuk terus maju ke depan mencipta kejayaan.

Ibu.. pada saat cahaya kegembiraan mula memancar, mendung datang tanpa diduga. Pada tahun 2004, ketika itu hanya sepuluh hari lagi kita bakal menyambut Syawal dan segala persiapan untuk menyambut Hari Raya telah pun kau siapkan, namun kita hanya mampu merencana, Tuhan yang menentukan segala. Secara tiba-tiba, tanpa alamat tanpa pesanan suamimu telah pergi menemuiNya, Tuhan lebih menyayangi abah. Ketika aku dimaklumkan oleh adik tentang keadaan kesihatan abah yang pengsan secara tiba-tiba, aku terus menghubungimu ibu, ku dengar esak tangismu, tak sampai hati rasanya melihat kau bersedih, lantas tanpa membuang masa aku terus pulang ke kampung. Sepanjang 5 jam perjalanan pulang, bibirku tidak putus-putus berdoa agar abah pulih dan sembuh seperti sediakala. Namun takdir menentukan segala-galanya, perginya seorang pejuang buat isteri dan anak-anaknya. Moga roh abah damai di sana..Al-Fatihah..

Abah meninggalkan seorang balu yang tidak bekerja disamping tujuh orang anak yang masih bersekolah. Semua penduduk kampung ketika itu sangat bersimpati dengan nasib ibu. Alhamdulillah ibu masih mempunyai pendapatan hasil dari duit pencen arwah abah. namun nilainya masih tidak mencukupi untuk menampung adik-adik yang masih bersekolah. Bayangkanlah kehidupan ibu ketika itu, berjuang membesarkan adik-adikku disamping menjaga salah seorang adikku yang Down Syndrome. Bila mengenang kehidupan yang telah ibuku lalui pasti airmata ini tanpa diundang tidak akan putus mengalir.

Ibu, kehilangan arwah abah walaupun telah lama berlalu, namun dapat kurasakan bahawa ia seolah-olah baru semalam bagimu. Ibu, ku tahu terlalu banyak penderitaan dan penyeksaan yang telah kau lalui, usiamu pada ketika arwah abah pergi belum pun menjangkau 50 tahun, namun kau terpaksa memikul tugas sebagai ketua keluarga sendirian.


Sajak ini ku nukilkan apa yang tersirat dibenak rasa dan ku zahirkan melalui tulisan yang ku namakan puisi. Ibu, hayatilah bait-bait yang tercipta ini ikhlas dari anakmu yang terlalu menyayangi dirimu...

Dulu tak pernah aku mengerti perasaan seorang ibu
Dulu tak pernah aku faham kepenatan seorang ibu
Dulu tak pernah aku cuba menyelami kesedihan seorang ibu
Dulu tak pernah ku tanya ibu tentang kesakitan melahirkan ku
Dulu tak pernah putus doa ibu buat kejayaan anak-anaknya
Dulu tak pernah aku melihat ibu mengeluh
Dulu tak pernah ku lihat ibu mengabaikan kami
Dulu tak pernah jemu ibu melatih ku bersyarah
Dulu tak pernah merungut ibu menemaniku mengulangkaji
Dulu ibu tak pernah mengalah pada kedukaan
Dulu ibu tak pernah lupa berpesan pada kami agar belajar bersungguh-sungguh

Kini...
Ibu masih begitu..
Tak pernah jemu
Tak pernah penat
Tak pernah merungut
Tak pernah mengeluh
Tak pernah lekang doa di bibir
Tak pernah mengabaikan

Kini juga...
Aku seorang ibu
Telah ku faham perasaan seorang ibu
Telah ku lalui kesakitan melahirkan zuriat amanahNya
Telah ku mengerti kesedihan seorang ibu
Telah ku rasa kepenatan seorang ibu
Telah ku tahu harapan seorang ibu pada anaknya

Aku berharap semoga aku setabah ibu
Mampu mengharungi hari-hari mencabar dengan tenang
Telah banyak derita dan keperitan yang telah ibu telan
Namun ibu tak pernah tewas dalam perjuangan
Perjuangan dalam mendidik
perjuangan dalam mengasuh
perjuangan dalam membesarkan
pada kami anak-anakmu..

Dulu dan kini
Ibu masih begitu
masih begitu
hanya berharap
yang terbaik buat anaknya.

Khas buat insan yang bergelar "IBU"



Bukan sedikit halangan kau tempuh,
dalam mengejar cecita yang tertanam di jiwa,
bukan sedikit keringat yang tumpah,
dalam menabur bakti dan jasa,
bukan sedikit air mata yang mengalir,
dalam mencari erti ketenangan..
semuanya perlu kekuatan,
semuanya perlu katabahan..

Kelahiranmu...
menggendong bersama amanah yang pasti,
yang harus kau laksanakan,
sebagaimana bertambahnya usia mudamu,
menginjak tahun demi tahun,
terus meninggalkan perjalanan yang lalu,
yang kini kau panggil kenangan,
kenangan yang tercipta lewat musim lalu,
bersama keluarga, bersama teman..

Perjalanan hidupmu terus menongkah tahun,
kau terus menimba pengalaman yang dalam suka dan duka,
menjadi warna warni kehidupan,
mematangkan akal fikiranmu,
mematangkan setiap tindakanmu,
teruslah mendaki hingga ke puncak jaya,
setinggi langit yang terhampar di atas,
setinggi bangunan yang yang mencecah awan,
lantaran masa terus menghambatmu,
janganlah leka terus membuai,
kerana kelekaan itu pasti menghampakan,
jiwamu yang penuh cecita..

Andaikata tika kau bermenung,
mengenang segala kenangan,
terlukis segala kepayahan,
dalam menempuh rintangan alam kedewasaan,
namun tetapkan hatimu terus melangkah,
walau banyak mana airmata yang tumpah,
walau banyak mana beban digalas,
walau banyak mana masalah melanda,
walau banyak mana ujian yang datang,
bangkitlah kembali mencari semangat,
dalam membina kental dihati,
moga cecita menjadi realiti,
teruslah melangkah dalam perjuanganmu,
dalam meniti keperitan,
yang hujungnya kelak kau kan tersenyum,
moga dirimu beroleh berkat,
dan rahmat dari Tuhan Yang Esa.

Selamat ulangtahun ikhlas dariku,
sahabat maya yang tulus menjalin ukhuwah,
moga kebahagiaan menjadi milikmu,
lestari berzaman kekal abadi..



(sajak di atas dikarang dan ditulis sendiri oleh Kak Nida..)

TAG:
Kak Cik
Ummi Iman
Fieda
Intan Berlian


No comments:

My Blog List