AMARAN KERAS!!!!!!

Segala hasil ciptaan puisi saya diharapkan agar dapat memartabatkan semula seni warisan bangsa khususnya dalam seni berpantun dan bersajak....mudah-mudahan :)

Akhir sekali...Hakcipta adalah terpelihara... tidak boleh disalin semula sebahagian mahupun keseluruhan ataupun di'copy paste' :)

Monday, 5 September 2011

Dia Ibuku

Bersama kesayanganku..
..dan dialah yang bernama IBU


Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kehidupannya penuh ranjau dan berduri. Tidak seindah dan sesenang insan lain, penderitaan demi penderitaan telah ditempuhi dan dilalui. Kini doanya agar ada sinar harapan dan kebahagiaan bakal menjelma. Inilah secebis kehidupan baginya yang ku panggil ibu. Insan yang telah melahirkan diriku dan mendidikku sehingga menjadi seorang 'manusia'.

Aku dilahirkan sebagai anak pertama, sudah tentu menjadikan diriku amat rapat dengan ibu. Susah senang kami kongsi bersama, begitu juga suka dan duka ibuku pasti dapat ku selami dan rasai jua. Ibu membesarkan kami yang seramai 10 orang adik beradik, pada masa itu kehidupan keluargaku tidak semewah orang lain. Arwah abah tidak mempunyai kereta dan hanya sebuah motor buruk sahajalah sebagai pengangkutan kami andai mahu kemana-mana. Ibu pula tidak bekerja hanya menjadi suri rumah sepenuh masa.

Aku masih ingat, ibu memimpin kami seorang demi seorang untuk menaiki tangga bas, satu persatu anak-anak akan dituntunnya, di bahunya tergalas beg yang berat dan pasti bagi sesiapa yang melihat akan tersentuh jiwanya. Ibu, andai insan lain berbangga dengan harta yang dimiliki, namun aku berbangga kerana memiliki ibu yang mempunyai hati yang tabah, semangat yang kuat dan jiwa yang bersih. Aku cemburu padamu kerana aku tidak sekuat semangatku, setabah dan secekal hatimu... kaulah idolaku sepanjang hayatku.

Semasa aku di sekolah dahulu, aku kerap mewakili sekolahku untuk ke pertandingan pantun, sajak dan syarahan. Setiap kali itu jugalah kau sentiasa di sisiku, menjadi jurulatih tetapku, masih jelas lagi diingatan setiap kali sebelum masuk waktu subuh pasti kau mengejutkanku untuk berlatih. Begitu juga setiap kali musim peperiksaan tiba, dirimu pasti setia menemaniku untuk mengulangkaji pelajaran. Aku tahu jauh di sudut hatimu kau tidak mahu melihat kesusahan hidup ini terus diwarisi. Aku tahu kau ingin melihat aku berjaya, kerana hanya kejayaan ini sahajalah yang dapat memberikan kepuasan dan kebahagiaan buatmu ibu. Percayalah ibu, semangatmu telah membuatkan aku terus berusaha untuk berjaya, Alhamdulillah aku telah buktikan untuk berjaya berada di menara gading... niatku pada masa itu hanyalah ingin membayar jasamu kerana menyedarkan aku tentang pentingnya ilmu pengetahuan, kata-katamu "Ilmu adalah harta" tetap ku pegang sehingga kini, dan kata-kata itulah juga telah aku perturunkan buat anak-anakku, dan ku harap semoga kata-kata itu juga dapat membakar semangat anak-anakku untuk terus maju ke depan mencipta kejayaan.

Ibu.. pada saat cahaya kegembiraan mula memancar, mendung datang tanpa diduga. Pada tahun 2004, ketika itu hanya sepuluh hari lagi kita bakal menyambut Syawal dan segala persiapan untuk menyambut Hari Raya telah pun kau siapkan, namun kita hanya mampu merencana, Tuhan yang menentukan segala. Secara tiba-tiba, tanpa alamat tanpa pesanan suamimu telah pergi menemuiNya, Tuhan lebih menyayangi abah. Ketika aku dimaklumkan oleh adik tentang keadaan kesihatan abah yang pengsan secara tiba-tiba, aku terus menghubungimu ibu, ku dengar esak tangismu, tak sampai hati rasanya melihat kau bersedih, lantas tanpa membuang masa aku terus pulang ke kampung. Sepanjang 5 jam perjalanan pulang, bibirku tidak putus-putus berdoa agar abah pulih dan sembuh seperti sediakala. Namun takdir menentukan segala-galanya, perginya seorang pejuang buat isteri dan anak-anaknya. Moga roh abah damai di sana..Al-Fatihah..

Setibanya aku di kampung, sebaik sahaja kaki ini melangkah masuk ke dalam rumah, ku lihat dirimu termangu ketika itu. Bagai tidak percaya apa yang telah berlaku. Ku peluk dirimu, namun kau masih tidak berkata-kata, "Ibu... sabarlah, Tuhan lebih menyayangi abah, kita sedekahkan Al-Fatihah banyak-banyak buat abah ye ibu"... hanya ayat itu yang mampu kuungkapkan buat ibu... Kau terus memelukku dengan kuat sekali "Along, kenapa abah terlalu cepat pergi, kenapa abah tinggalkan kita semua", dengan tangisan yang syahdu kau berkata.

Abah meninggalkan seorang balu yang tidak bekerja disamping tujuh orang anak yang masih bersekolah. Semua penduduk kampung ketika itu sangat bersimpati dengan nasib ibu. Alhamdulillah ibu masih mempunyai pendapatan hasil dari duit pencen arwah abah. namun nilainya masih tidak mencukupi untuk menampung adik-adik yang masih bersekolah. Bayangkanlah kehidupan ibu ketika itu, berjuang membesarkan adik-adikku disamping menjaga salah seorang adikku yang Down Syndrome. Bila mengenang kehidupan yang telah ibuku lalui pasti airmata ini tanpa diundang tidak akan putus mengalir. Pelbagai ikhtiar telah ibu lakukan untuk membesarkan anak-anaknya termasuklah menjual nasi lemak.

Ibu, kehilangan arwah abah walaupun telah lama berlalu, namun dapat kurasakan bahawa ia seolah-olah baru semalam bagimu. Setiap kali ke kubur, pasti pipimu akan basah dengan deraian airmata, tak sanggup rasanya melihat kau terus menanggung derita, setiap kali menziarahi kubur arwah abah, pasti kau akan bercakap dengan batu nesan yang tidak bernyawa. Kau membayangkan seolah-olah suamimu masih hidup. Ibu, ku tahu terlalu banyak penderitaan dan penyeksaan yang telah kau lalui, usiamu pada ketika arwah abah pergi belum pun menjangkau 50 tahun, namun kau terpaksa memikul tugas sebagai ketua keluarga sendirian. Ibu, percayalah sinar kebahagiaan akan menyusul tidak lama lagi, anak-anakmu sentiasa mendoakan yang terbaik buat ibu.

Ibu telah kau lahirkan aku, telah kau besarkan aku, telah kau didik aku. Suka dukamu, suka dan duka bagiku jua. Kesatlah airmatamu, anakmu ini tidak sanggup lagi melihat kau menangis. Cukuplah tangisan yang terakhir ketika kau menghantar arwah abah ke tanah perkuburan.





Kesatlah airmatamu kerana kami adik beradik akan berusaha untuk membahagiakanmu.







1 comment:

♥♥azatiesayang ♥♥ said...

Salam Nida...sedih k.atie baca n3 nie.pengorbanan seorg ibu mmg tiada mampu kita balas..& hargailah ibu..sementara dia ada disisi kita.
Namun penat lelah ayah yg membanting tulang mencari rezeki juga harus kita kenang...jasa keduanya trlalu besar & brharga tuk kita.

My Blog List