AMARAN KERAS!!!!!!

Segala hasil ciptaan puisi saya diharapkan agar dapat memartabatkan semula seni warisan bangsa khususnya dalam seni berpantun dan bersajak....mudah-mudahan :)

Akhir sekali...Hakcipta adalah terpelihara... tidak boleh disalin semula sebahagian mahupun keseluruhan ataupun di'copy paste' :)

Monday, 5 September 2011

Secebis Kenangan..

Ya Allah, begitu berat untukku mencoretkan bingkisan ini. Semakin jauh ingatan ini melayang, semakin kuat rindu ini mencengkam hati. Tidak terdaya rasanya menanggung kerinduan yang amat sangat, rindu yang tidak bertepi pada sebutir bintang di hatiku.

Terkadang kurasakan seolah-olah hidup ini sunyi lantaran semalam sebutir bintang yang selalu menghiasi hariku dengan kerdipan cahayanya telah hilang selamanya. Walaupun sudah tujuh tahun peristiwa menyayat hati ini berlaku namun kurasakan seolah-olah detiknya baru sahaja ku lalui. Ianya masih jelas dalam ingatan dan setiap bait perkataan yang tercoret olehku, pasti airmata ini tidak putus mengalir dari pipi, aku terlalu merinduinya.

21 Ramadan 1425H (4 November 2004)
8.00 malam (Khamis)

Entah kenapa gerak hatiku terlalu ingin mendengar suara abah, sedangkan baru kelmarin aku menghubunginya. Ku capai gagang telefon dan Alhamdulillah abah yang mengangkat panggilanku. Abah sempat bergurau denganku dengan bercakap ala-ala telo Cina, kami ketawa. Abah memberitahuku bahawa beliau tak sabar menanti kepulangan kami terutama cucu-cucunya.

22 Ramadan (5 November 2004)
2.00 pagi (Jumaat)


Aku dikejutkan dengan panggilan telefon oleh adikku menyatakan abah pengsan, hatiku mula resah, aku menelefon emak, ketika itu abah dah sedar. Sempat abah meninggalkan pesan pada emak agar tidak memberi kami balik kerana beliau sudah semakin pulih, "taknak menyusahkan anak-anak katanya"

4.00 pagi, hatiku mula rasa risau dan resah, kami mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Kami melencong ke Muadzam Shah untuk mengambil adikku yang belajar di MRSM sana. Entah kenapa hatiku dapat rasakan sesuatu kerana ketika mengemas pakaian untuk dibawa pulang, aku telah tercapai baju kurung, dalam kepalaku bahawa akan berlaku sesuatu perkara.

6.30 pagi, kami memulakan perjalanan. Pak Jang (bapa saudara) yang berada di kampung acapkali menefon aku bertanyakan dimana aku berada. Hatiku mula tak tenang, apabila ku bertanya tentang keadaan abah pasti Pak Jang akan kata "ok".

Namun telah tertulis takdir bahawa insan yang aku amat sayang ini, akan meninggalkan kami buat selama-lamanya. Perginya mengejut, meninggalkan emak yang hidupnya banyak bergantung pada abah, meninggalkan sepuluh orang anak dan tujuh yang masih bersekolah, meninggalkan seorang anak istimewa (Aishah), meninggalkan anak-anak yang masih belum puas bermanja dengannya, ketika abah pergi adik bongsuku baru berumur 6 tahun.

Setiap kali Along mengenangkan nasibmu dik, pasti
rasa belas bertandang.. sejak umur 6 tahun kau sudah
digelar anak yatim. Tak puas dirimu bermanja, malah setiap kali
pertanyaan tentang abah Along ajukan padamu, pasti jawapan
"tak ingat" akan kau berikan. Dirimu terlalu kecil untuk
mengingati saat indah bersama abah. Kini usiamu sudah
menjangkau 13 tahun, semoga adik Along ini
membesar sebagai insan yang punya semangat yang tinggi.

Antara gambar kenangan Hari Raya bersama arwah abah,
ketika ini aku (duduk paling kanan) baru berusia tujuh tahun


1 Syawal 1425H (14 November 2004)

Hari Raya pada tahun ini tidak sama seperti hari raya sebelumnya, tanah kubur abah masih merah lagi, perginya hanya lagi beberapa hari sebelum umat Islam meraikan Aidilfitri, kesedihan dan  tangisan ini masih berterusan membasahi pipi kami sekeluarga. Perginya abah tiada tanda sakit pada dirinya, perginya secara tiba-tiba kerana serangan jantung. 

Kalau sebelum ini abahlah insan  pertama yang akan bangun seawal subuh lagi dan mengejutkan kami semua, dan abahlah yang akan memacakkan buluh di tanah untuk menggantung pelita, membeli bunga api untuk adik-adikku dan cucu-cucunya bermain, kini malam Raya kami tidak seceria dahulu lagi, tiada lagi senda gurau dari atuk buat cucu-cucunya.

Mereka masih kecil untuk mengerti hakikat kehilangan insan yang tersayang.

Pagi itu kami bangun seperti biasa, kanak-kanak yang masih belum mengerti apa-apa tertawa riang menggayakan baju baru mereka. Emak sugul duduk di sofa, matanya merenung jauh, pasti dia terbayangkan abah yang telah tiada. Mukanya menampakkan keletihan kerana terlalu banyak menangis. Adikku Aisyah anak istimewa kurniaan Allah (down syndrome) yang ketika itu baru berumur 9 tahun tidak putus-putus bertanya tentang abah “mak, abah ane (mana)”, emak hanya diam membisu. Kami adik beradik terus menangis kerana tak sanggup mendengar soalan dari Aisyah, insan yang dijanjikan syurga untuknya.

Kami menyayangimu Aisyah

Satu peristiwa yang aku masih ingat sampai saat ini, iaitu ketika aku membuka almari untuk mengambil baju suamiku, aku telah tercapai baju Melayu abah yang sepatutnya abah pakai pada pagi itu, aku terus terduduk di katil, airmata semakin lebat turun, emak terpandang baju itu dan terus esak tangisnya menjadi semakin kuat, sepatutnya emak dan abah memakai baju berwarna biru sedondon pada pagi Hari Raya itu. 


Aku sedar aku tidak boleh melayan perasaan, aku perlu kuat demi adik-adik dan demi emak yang masih tidak dapat menerima keadaan, ku kesat airmata ini, ku cuba ukirkan senyuman walau pada hakikatnya hatiku sangat pilu, aku kasihan melihat Aisyah, adik bongsuku Fikhrie, anak-anakku dan anak-anak saudaraku yang tidak mengerti apa-apa dan sepatutnya Hari Raya ini disambut meriah oleh mereka. Ku panggil semua adik-adik, dan kami memulakan acara bersalaman dan bermaafan seperti mana setiap tahun.

Mak, kesatlah airmatamu.. kami anak-anakmu akan
membahagiakan dirimu dan itulah janji kami padamu.
Kami sayang emak, derita emak derita juga bagi kami :(

Ampunkalah segala dosa-dosa kami padamu,
halalkanlah setiap titis susu yang mengalir dalam darah kami.

Selepas kami bersalaman dan bermaafan di pagi raya, kami terus menuju ke kubur abah. Adik keempatku mengetuai bacaan Yasin, suasana pilu terus menyelubungi. Adikku Aisyah tidak putus-putus mencium batu nesan abah, “mak abah ane(mana)” diulangnya lagi soalan yang sama, "abah pergi jauh" balasku agar ia tahu bahawa abah tidak akan pulang kembali. 


Hari Raya yang dilalui kini tidak sama seperti dahulu, walaupun sudah tujuh tahun peristiwa berlalu dan setiap kali lebaran tiba, mak pasti teringat pada abah “Kalau abah ada mesti meriah” ayat yang kerap mak luahkan pada kami.


Damailah dirimu di sana.... suatu hari nanti kami jua akan menyusul.
Al-Fatihah buat insan tersayang, Muhammadon bin Juhari.



September 2010

Pada tahun lepas, ketika sudah seminggu umat Islam meraikan Aidilfitri, selepas seharian beraya kami sekeluarga singgah sebentar di sebuah gerai makan. Sedang leka menunggu makanan tiba, tiba-tiba kami terdengar lagu "Oh Dimana" nyanyian kumpulan Dlloyd berkumandang, ku lihat wajah emak mula merah menahan kesedihan kerana lagu ini amat sinonim dengan abah. Lagu inilah yang selalu abah nyanyi ketika masih muda hinggalah sebelum ajalnya tiba, lagu inilah yang selalu abah tujukan buat emak. Akhirnya emak tewas, airmatanya jatuh jua. Hingga ke hari ini, lagu ini meninggalkan trauma buat kami, setiap kali kami sekeluarga mendengarnya, pasti terbayang wajah abah di depan mata... :'(



Arwah abah seorang guru besar, namun beliau tidak pernah menganggap dirinya sebagai "boss", semua staff amat menyenanginya. Beliau suka ke laut mencari ikan bersama rakan-rakan nelayannya, beliau suka ke hutan pergi memburu dengan rakan-rakan pemburunya, beliau berkawan dengan semua lapisan masyarakat. Malah ketika abah telah tiada, apabila kami beraya di rumah rakan abah yang merupakan seorang tukang kebun di sekolahnya dulu,  rakannya pasti menangis "Takde guru besar yang sebaik abah kau Along, tak pernah anggap kami sebagai orang bawahan". Tukang kebun inilah yang selalu diajaknya memburu, tukang kantin sekolahnyalah yang selalu diajaknya ngeteh di luar, kerani di sekolahnyalah yang selalu diajaknya ke laut menjala ikan, guru-guru di sekolahnyalah yang diajaknya bersukan... abah terlalu istimewa.


Abah duduk di tengah


Kini Syawal bakal menjelma lagi, 22 Ramadan bakal diselusuri, dan ketika itu pasti saat dirimu dimandikan, dikapankan dan dikuburkan bermain lagi dalam ingatanku seperti sebelum ini. Abah, andai abah mendengar luahan hati anakmu ini.... sesungguhnya ingin sekali ku luahkan padamu bahawa dirimu abah adalah insan yang terbaik yang pernah hadir dalam diri kami. Kau tidak pernah mengeluh untuk memberikan yang terbaik buat kami, ku masih ingat kata-katamu "Abah tak punya cukup wang untuk membeli seluar baru abah, tapi untuk anak-anak abah gembira, abah akan keluarkan duit simpanan abah untuk belikan anak-anak abah baju raya", ketika itu kami masih kecil untuk faham situasi sebenar, kini barulah kami sedar, kau sentiasa memberikan yang terbaik buat kami walaupun sesusah mana dirimu... terima kasih abah. Disaat ini ingin sekali kukucup dahimu sepertimana dahulu.. Insya Allah apabila saatnya tiba, kita akan bertemu.

No comments:

My Blog List